Perkataan batik merujuk kepada proses menghasilkan kain dengan
menggunakan teknik terapan lilin bagi menghasilkan reka corak yang kemudian
dicelup dengan pelbagai warna yang menarik. Reka corak serta penggunaan bahan-bahan
baru telah menyemarakkan lagi pengeluaran batik. Batik yang dihasilkan di
negara ini telah berjaya menembusi dunia fesyen antarabangsa. Kebiasaannya reka
corak dan motif-motif batik diinspirasikan dari alam semula jadi seperti flora
dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.
Reka corak batik ini diaplikasikan ke atas batik menggunakan teknik
canting, batik blok dan batik sutera saring. Di Malaysia kini batik telah
diangkat sebagai salah satu daripada seni warisan bangsa yang menjadi
kebanggaan negara. Perusahaan batik dipercayai bermula pada awal abad ke 12
iaitu di Kepulauan Jawa dan kemudiannya berkembang ke Semenanjung Tanah Melayu,
khususnya di Kelantan dan Terengganu. Semenjak itu seni kemahiran batik terus
berkembang ke negeri-negeri lain di Malaysia. Batik di negara ini dihasilkan
dengan teknik dan reka corak yang beridentitikan Malaysia. Kini Malaysia
menjadi salah sebuah negara pengeluar utama batik di dunia yang mengiktiraf
kehalusan dan kemahiran kerja tangan pengeluar batik tempatan.
No comments:
Post a Comment